AKTIVITI TERKINI

Sabtu, Disember 11, 2010

Sekitar Ceramah Ma'al Hijrah 1432

Pada hari Jumaat malam Sabtu, 10 Disember 2010, satu lagi program anjuran Surau Al-Hidayah Taman Mulia dapat dilaksanakan dengan kehadiran Ustaz Nor Azman bin Mohammad, Imam Masjid Dato' Klana Petra Sendeng, Ampangan selaku tuan penceramah pada malam itu. Program yang bermula dengan Solat Maghrib berjamaah itu diimamkan oleh beliau sendiri. Selepas solat sunat rawatib, majlis dimulakan dengan kata-kata aluan oleh Setiausaha Surau Al-Hidayah iaitu Ustaz Mohd Azwan bin Rosdi selaku Pengerusi Majlis sebelum menjemput tuan penceramah bagi menyampaikan ceramah beliau. Kira-kira 100 orang muslimin dan muslimat hadir pada malam itu yang terdiri daripada ahli kariah Taman Mulia Lagenda, Aster dan Lotus serta beberapa orang jamaah daripada Masjid Kampung Gebok. Ceramah yang disampaikan oleh beliau begitu menarik perhatian sidang hadirin dengan kaedah dan pendekatan yang sesuai bagi segenap lapisan ahli kariah. Selepas Solat Isyak berjamaah, satu jamuan ringan disediakan bagi semua hadirin dengan sumbangan makanan dan minuman yang dihulurkan oleh warga penduduk Taman Mulia.



Ustaz Azwan Rosdi selaku Pengerusi Majlis menyampaikan kata alu-aluan pada awal majlis.

Tuan Penceramah Undangan, Ustaz Nor Azman Mohammad, Imam Masjid Dato' Klana Petra Sendeng, Ampangan sedang menyampaikan ceramah beliau.


Sebahagian ahli kariah yang hadir dalam majlis ceramah Ma'al Hijrah tersebut.




Sekitar sesi jamuan ringan yang diadakan selepas Solat Isyak berjamaah di Surau Al Hidayah.

Surau Al Hidayah Taman Mulia mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tuan Penceramah , Ustaz Nor Azman Mohammad yang sudi hadir bagi menyampaikan ceramah beliau, wakil AJK Masjid Kampung Gebok, AJK Surau Al Hidayah Taman Mulia, seterusnya tuan / puan yang menyumbang makanan dan minuman bagi majlis malam itu serta hadirin yang hadir pada malam itu. Semoga sokongan dan sambutan tuan/puan terhadap program yang akan dirancangkan diberkati dan dirahmati oleh Allah swt.

Khamis, Disember 09, 2010

Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun, Doa Awal Tahun, Yaasin dan Tahlil Sempena Ma'al Hijrah 1432

Alhamdulillah, pada Hari Isnin, 6 Disember 2010 yang lalu, Surau Al-Hidayah telah mengadakan Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun, Doa Awal Tahun, Yaasin dan Tahlil sempena Sambutan Ma'al Hijrah 1432. Program ini bertujuan agar ahli-ahli kariah Taman Mulia dapat menghayati sambutan Ma'al Hijrah dengan pengisian-pengisian kerohanian mengikut acuan Islam yang sesuai. Selain daripada mengukuhkan dan mengeratkan ukhuwwah dalam kalangan ahli kariah, program ini secara tidak langsung memberi pendedahan awal kepada generasi kecil @ anak-anak tentang Tahun Hijrah selain daripada Tahun Masihi. Pada majlis ini kira-kira 120 orang muslimin dan muslimat hadir yang meliputi ahli kariah Taman Mulia Lagenda, Aster & Lotus. Semoga kehadiran tuan / puan dalam majlis dan program akan datang lebih menambahkan rahmat dan barokah buat kita semua . InsyaAllah..

Sebahagian daripada jamaah yang hadir dalam Majlis Sambutan Ma'al Hijrah sedang memanjatkan doa akhir tahun.

Bacaan doa telah dipimpin oleh Imam 1 iaitu En Abd Rahman bin Basiron.